Beijing: Seorang pelajar mendakwa menemukan objek kelihatan seperti kepala tikus dalam makanan di kafeteria kolej. Bagaimanapun, pihak kolej menafikan perkara tersebut dan menyatakan objek itu sebenarnya kepala itik dan bukan tikus.
Insiden itu dilaporkan berlaku pada minggu lalu di kafeteria Kolej teknikal Vokasional Jiangxi ketika sekumpulan pelajar menikmati makan tengah hari dan terjumpa objek seperti kepala tikus. Kumpulan pelajar itu kemudiannya berjumpa dengan petugas kafeteria dan mereka dimaklumkan objek itu bukan kepala tikus, sebaliknya kepala itik. Menerusi video yang dirakam, seorang pelajar menegaskan bahawa objek itu adalah kepala tikus kerana jelas kelihatan gigi. Video itu kemudiannya tular dalam media sosial dan pelbagai pihak memberi perhatian terhadap kes berkenaan. Biro pemantau makanan tempatan turut mengesahkan objek itu adalah kepala itik, namun terdapat juga pihak membantah kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, pengurusan kolej meminta para pelajarnya supaya berhenti membincangkan perkara tersebut bagi meredakan situasi. Namun, skandal tersebut terus diperkatakan sehingga hari ini dengan pelbagai pihak menzahirkan kekecewaan terhadap pihak kolej dan pihak berkuasa tempatan yang disifatkan menipu. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT