Kuala Lumpur: Enam individu, termasuk dua wanita, yang disyaki terbabit kejadian samun bersenjata, ditahan dalam serbuan berasingan di Senawang, Negeri Sembilan dan Putra Perdana, Puchong, dekat sini, semalam.
Tangkapan empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia 27 tahun hingga 32 tahun itu ekoran satu kejadian samun di sebuah rumah di Bukit Puchong, membabitkan kerugian RM60,000 pada 4 Jun lalu. Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata polis menerima laporan kejadian itu pada jam 7.29 pagi daripada seorang lelaki tempatan, yang memaklumkan rumahnya dimasuki dua lelaki. "Suspek yang bersenjatakan senjata pisau melarikan pelbagai barangan berharga serta kereta jenis Honda City yang diletak di hadapan rumah mangsa, membabitkan kerugian dianggarkan RM60,000.
"Dalam kejadian itu, kedua-dua suspek yang memakai topeng muka turut mengikat mangsa dan isterinya, ibu serta dua anaknya. Tiada sebarang kecederaan dalam kejadian itu," katanya dalam kenyataan, hari ini. Wan Azlan berkata, Unit Forensik Polis Selangor menjalankan siasatan di tempat kejadian dan membuat sapuan peluh sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. "Susulan siasatan dijalankan, sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 (Jenayah Berat) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah menangkap empat lelaki dan dua wanita tempatan, masing-masing di Senawang, Negeri Sembilan dan Putra Perdana, Puchong, Selangor, semalam. "Polis turut merampas beberapa barangan, dipercayai digunakan untuk melakukan samun, antaranya dua pisau, pakaian, satu pemutar skru serta sepasang sarung tangan," katanya. Tambah beliau, polis turut menemui semula beberapa barangan milik mangsa seperti barang kemas, telefon bimbit, kunci rumah dan kereta Honda City. "Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Honda EK, yang dilaporkan hilang di kawasan Jinjang, Kuala Lumpur. "Modus operandi suspek ialah memecah masuk rumah dan mengugut penghuninya dengan pisau, mengikat mereka dengan kabel telefon dan tali pinggang, sebelum melarikan barangan peribadi dan berharga serta kenderaan mangsa," katanya. Wan Azlan berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan keenam-enam suspek ditahan reman selama lima hari untuk siasatan lanjut. "Polis sedang meneruskan soal siasat kerana dipercayai suspek turut terbabit dengan beberapa lagi kes samun di sekitar daerah ini dan daerah lain. "Kita mohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian samun berkumpulan untuk tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya. Maklumat boleh disalurkan menerusi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor G Dinesh di talian 011-33094457, dengan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT