Jakarta, Indonesia: Seorang lelaki yang mempunyai berat 300 kilogram terpaksa diangkat dengan bantuan forklift dari rumahnya menuju ke trak pikap untuk dibawa ke sebuah hospital di Tangerang semalam.
Portal berita Tribunsumsel melaporkan, Muhammad Fajri, 27, dirawat di Hospital Kota Tangerang dengan tujuan untuk mengurangkan berat badannya seperti menjalani pemotongan usus dan diet pemakanan. Menurut Ketua Pelaksana Badan Pengendalian Bencana Daerah Ciledug, Mulyadi, pada peringkat awal, pihaknya diminta penduduk setempat untuk memindahkan pemuda tersebut ke hospital. “Kami mendapat laporan daripada penduduk, kemudian kami melakukan perpindahan. Jalan ke rumah pemuda tersebut sempit dan beban tubuhnya pun terlalu besar,” ujar Mulyadi kepada portal berita Tribunnews.com .
Badan pengendalian itu kemudiannya melakukan usaha untuk memudahkan dan melancarkan proses penghantaran Muhammad Fajri ke hospital. “Mengangkatnya juga menggunakan forklift untuk dihantar ke pikap dan dipindahkan ke hospital di Kota Tangerang,” ujarnya. Berdasarkan temu bual dengan beberapa jiran, pemuda itu mengalami masalah obesiti sejak dia berusia 11 tahun dan dia sudah terbaring di atas katil selama lapan bulan. – Agensi Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT