Kuala Lumpur: Selama 18 tahun bergelumang sebagai penerbit drama dan filem, Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth, David Teo, kini mengambil keputusan mengundur diri daripada bidang ini. Pemilik nama sebenar, Teo Chew Huat, 59, bukanlah terus 'cuci tangan' sebagai penerbit kerana masih memantau kerja-kerja penerbitan filem dari dekat.
"Saya dah 18 tahun jadi penerbit iaitu dari tahun 2000 sehingga 2018, filem terakhir ialah Kolesterol VS Cinta. Saya sekarang dah berjaya menghasilkan lebih 100 filem. "Saya rasa agak puas dan sekarang saya mula memperkenalkan generasi pewaris saya iaitu anak saya Teo Jason, 24, untuk sambung jadikan kepada 300 filem. Itu memang matlamat saya sejak dulu. "Saya akan pantau dia buat sementara sampai dia bergerak dengan baik dan jangan rugi. Kalau rugi nanti semua keluar. Saya kena bagi kepercayaan kepada dia. "Saya pun dah lama tak jumpa media, jadi saya anjurkan majlis beramah mesra dengan media dan ambil kesempatan perkenalkan dia kepada semua," katanya dalam satu majlis bersama media baru-baru ini.
Menurutnya, selepas berehat beberapa ketika antaranya akibat pandemik Covid-19, Metrowealth akan kembali aktif menghasilkan lima filem iaitu Cheongsam Merah Darah (seram), Citra Apartment (seram), Anonim (romantik komedi), Syaaban (seram) dan Jangan Pandang belakang 2 (seram). "Barisan pengarah dan pelakon masih dikenal pasti. Seiring dengan perkembangan terkini, mereka akan diambil dari generasi baharu yang pastinya dapat bawa perubahan kepada kami," katanya. Pada 2000 Metrowealth mengejutkan semua pihak apabila berbelanja besar menghasilkan filem Syukur 21. Filem arahan Eddie Pak ini membariskan kumpulan Raihan dan Yasin Sulaiman sebagai pelakon utama. Antara lokasi penggambaran ialah Putrajaya, Cyberjaya, Jakarta, Surabaya dan Yogyakarta. Ia filem pertama menggunakan sistem bunyi SDDS di Malaysia. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT