Kuching: Pesara syarikat swasta mengalami kerugian RM1.2 juta akibat terpedaya dengan panggilan penipuan (phone scam) April lalu. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia 66 tahun dari Miri itu mendakwa menerima panggilan telefon dari suspek yang mengatakan mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram pada 18 April lalu.
Katanya, suspek kemudiannya meminta mangsa membuka dua akaun bank baharu bagi memudahkan siasatan dijalankan. "Mangsa membuka akaun bank baharu di dua institusi kewangan tempatan pada 19 dan 20 April sebelum memberi maklumat ID (peribadi) dan kata laluan perbankan kepada suspek. "Selepas itu, mangsa diarahkan untuk memindahkan wang berjumlah RM1.2 juta melalui empat transaksi dari akaun AmBank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya ke dua akaun bank yang baharu dibuka itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memeriksa baki wang di kedua-dua akaun bank baharu miliknya dipindahkan ke akaun tidak dikenali secara berperingkat pada 19 April hingga 3 Mei lalu dan membuat laporan polis semalam. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT