Fizi Ali berharap penghijrahannya dari Suria FM ke Hot FM mampu membuka peluang untuk berada dalam kelompok Top 5 kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35.
Dah beberapa kali tersenarai sebagai calon awal atau Top 20 bagi kategori berkenaan, Fizi berkata dia sememangnya mengimpikan untuk bergelar calon Top 5 pada kali ini. "Kalau diikutkan sudah beberapa kali saya tercalon dalam ABPBH, tetapi tidak pernah lagi bolos hingga Top 5. Jadi, saya berharap peluang ada, tahun ini. "Sekiranya berjaya, itu bermakna saya diterima oleh rata-rata pendengar radio di Malaysia walaupun sudah menjadi penyampai di stesen radio lain," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Fizi yang memulakan tugas sebagai penyampai di Suria FM pada 1 Julai 2016 mengambil keputusan untuk berhijrah ke Hot FM pada 1 Ogos tahun lalu. Bekas peserta program Pilih Kasih itu kini bergandingan bersama Aisha menerusi segmen Hot Squad yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat bermula antara jam 3 petang hingga 7 malam.
Sementara itu, mengulas saingan dihadapi pada ABPBH 35, Fizi berkata, setiap calon berpeluang untuk menang sekiranya mendapat sokongan berterusan peminat. "Kalau mahu bercakap mengenai calon penyampai lain, semuanya hebat. Jadi, untuk bolos Top 5 itu juga satu perkara yang mudah. "Senang cerita, saya perlu tingkatkan usaha dalam tempoh pengundian yang berbaki ini.
"Alhamdulillah, maklum balas peminat juga sangat baik. Ada juga yang mesej di Instagram (IG) untuk menubuhkan kelab peminat bagi membantu saya pada ABPBH 35. "Sekiranya berjaya mara kelompok Top 5, saya akan besarkan lagi kelab peminat," katanya. Akui Fizi, dia tidak menyangka masih diberikan peluang bersaing dalam anugerah ikonik BH itu, biarpun masih belum cukup setahun bergelar penyampai di Hot FM. "Sebenarnya, saya terkejut dengan pencalonan kali ini sebab ada mulut yang menyifatkan perpindahan ke Hot FM akan memberi kesan kepada karier penyampai radio.
"Tetapi, saya percaya semua ini adalah perancangan Tuhan. Apabila Tuhan sudah menetapkan sesuatu, maka pasti akan dapat juga. "Sejak menjadi penyampai radio Hot FM, saya nampak pendengar mahu mengenali dengan siapa Fizi Ali sebenarnya dan dalam masa sama, ia memberi impak positif kepada stesen radio," katanya.
Selain Fizi, tiga lagi penyampai dari Hot FM iaitu AG, Johan dan Fara Fauzana turut tersenarai dalam kalangan calon Top 20 ABPBH 35 yang akan disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 21 Julai depan. Mereka bakal berdepan saingan pemenang trofi kategori pada ABPBH 34 iaitu DJ Lin yang juga penyampai Suria FM. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|