Tindakan pengurus syarikat teknologi di India mengundang kecaman selepas mengarahkan pengawal keselamatan mengunci pintu bangunan pejabat bagi mengelakkan pekerja keluar tanpa kebenaran. Dalam satu video yang tular, seorang pengawal keselamatan menggunakan mangga kunci untuk mengunci pintu bangunan pejabat Coding Ninjas di Gurugram, India.
Pengawal keselamatan itu berkata, dia diarahkan ‘tuan Anurag’, pengurus syarikat berkenaan untuk bertindak demikian kerana enggan membiarkan kakitangan keluar tanpa kebenarannya. Video tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai yang mengetengahkan isu seperti eksploitasi pekerja serta persekitaran tempat kerja yang negatif. Menurut jurucakap Coding Ninjas, insiden itu telah diperbetulkan selain pengurus berkenaan mengakui kesilapan dan meminta maaf. “Kami mahu menjelaskan bahawa insiden di salah sebuah pejabat kami itu disebabkan tindakan seorang kakitangan dan amat dikesali.
“Ia bertentangan dengan nilai dan budaya Coding Ninjas sebagai sebuah organisasi,” ujarnya. Sementara itu, orang ramai menyuarakan kritikan mereka selepas menonton video tersebut. “Bayangkan jika berlaku kebakaran. Bagaimana sebuah organisasi beroperasi dengan tahap empati seperti itu,” kata seorang netizen. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT