Padah miang merenyam di dalam sebuah bas, seorang lelaki dipukul seorang wanita berkali-kali selain wajahnya ditampar. Menerusi video berdurasi satu minit 19 saat itu, situasi tegang di dalam bas yang dalam perjalanan dari Mandya menuju ke Karnataka, India berlaku apabila lelaki yang tidak dikenali berkenaan didakwa mula mengusik dan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap wanita terbabit.
Difahamkan, lelaki berkenaan tidak mengendahkan amaran yang diberi wanita itu dan terus mengganggunya. Bagaimanapun, setelah 'dibelasah', lelaki itu kemudiannya turun dari bas dan melarikan diri. Video dikongsi secara meluas di platform media sosial itu menjadi bualan ramai kerana ia menyerlahkan keberanian seseorang wanita dalam mempertahankan maruahnya. Namun, agak menyedihkan apabila melihat tiada orang awam yang cuba membantu meskipun kejadian itu berlaku di depan mata mereka.
Rata-rata warga maya yang menonton video berkenaan turut memuji langkah berani yang diambil wanita itu. "Bagus, begitulah (hukuman) yang seharusnya kita beri kepada pelaku. Patut tendang lagi dia beberapa kali," tulis Yugal Nachiketa "Seorang wanita diganggu oleh lelaki di hadapan orang ramai, (tetapi) tiada siapa campur tangan. Rakyat negara ini menyedihkan," ujar Vidya. Sumber: Majoriti
|
ADVERTISEMENT