Lima murid cedera van dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal di simpang tiga Jalan Nusari Bayu 1, Sendayan, Seremban. Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah mengakibatkan penunggang, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun patah tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, van berkenaan dikatakan masuk ke simpang kanan jalan sebelum dirempuh motosikal terbabit. "Siasatan awal mendapati van dipandu lelaki berumur 65 tahun bersama 10 murid sebuah sekolah rendah sedang bergerak dari arah Taman Nusari Aman 1 menuju ke arah Taman Nusari Bayu 2.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan membelok ke kanan simpang sebelum datang sebuah motosikal jenis Modenas Pulsar melanggar bahagian kiri van berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Beliau berkata, akibat kemalangan, lima daripada penumpang van sekolah masing-masing berumur tujuh hingga 12 tahun mengalami kecederaan luka-luka kecil akibat terkena serpihan kaca. "Mereka yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) manakala pemandu van bersama lima lagi murid pula tidak mengalami sebarang kecederaan. "Penunggang motosikal yang tangan kanan dan luka di kaki menerima rawatan di hospital sama," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT