Seorang remaja perempuan yang enggan dikongkong dan mahu hidup bebas sanggup menipu keluarga kononnya dia diculik. Malah, dia menaip sendiri mesej meminta wang tebusan RM100,000.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari semalam, remaja berusia 19 tahun itu pada mulanya keluar bersama keluarganya di pusat beli-belah di Ampang sebelum memberitahu mahu ke tandas. Menurut sumber, bagaimanapun selepas dua jam menunggu, remaja itu tidak kelihatan menyebabkan bapanya mencari di seluruh pusat beli-belah itu namun tidak menemuinya. "Tidak lama kemudian mereka menerima mesej WhatsApp daripada telefon bimbit anaknya meminta supaya menyerahkan wang tunai RM100,000 jika mahu anaknya selamat. "Ibu bapanya yang bimbang dengan keselamatan remaja itu kemudian tampil membuat laporan polis," kata sumber. Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati ia bukanlah kejadian culik sebaliknya mangsa menghilang diri ketika ke tandas, sebelum tinggal di rumah kawan lelakinya di Shah Alam.
Polis kemudian menahan remaja perempuan itu pada 10 malam 1 Jun untuk siasatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu dan suspek direman dua hari bermula hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan 182 Kanun Keseksaan. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT