LONDON: Sepasukan saintis antarabangsa menghasilkan semula wajah firaun Tutankhamun yang memerintah Mesir lebih 3,300 tahun dahulu. Pasukan itu mendedahkan rupanya kelihatan seakan pelajar muda berbanding seorang raja.
Ciri-ciri fizikal pada wajah firaun yang sangat terkenal itu dihidupkan oleh pasukan akademik dari Brazil, Australia dan Itali menggunakan model digital tengkorak mumianya. Pakar grafik Brazil, Cicero Moraes, yang merupakan pengarang bersama kajian baharu itu, berkata, pembinaan semula itu mendedahkan wajah muda dan ‘halus’ seorang raja yang jelas masih remaja ketika meninggal dunia lebih tiga ribu tahun lalu. “Melihatkan bentuk wajahnya, kita dapat menggambarkan Tutankhamun kelihatan lebih kepada seorang pelajar muda walaupun menggalas tugas sebagai ahli politik yang penuh tanggungjawab,” katanya. Tutankhamun dilaporkan memerintah pada usia sembilan tahun dan meninggal dunia sekitar usia remaja 19 tahun.
Penemuan mumia firaun itu ditemui bersama-sama dengan puluhan khazanah luar biasa oleh ahli arkeologi Britain, Howard Carter pada November 1922 di Lembah Raja-raja Mesir. Moraes berkata, pasukannya berdepan cabaran besar menyiapkan model wajah berkenaan kerana tidak mempunyai akses kepada tengkorak asal firaun itu namun kajian terdahulu yang merekodkan ukuran tengkorak dan menerbitkan imej rujukan banyak membantu mereka. “Ia adalah kerja detektif, di mana kesan maklumat disatukan untuk memberikan kami model tiga dimensi tengkoraknya. “Dengan data perkadaran dan beberapa ukuran sefalometri yang penting, kami mengambil tengkorak digital penderma maya dan menyesuaikannya supaya ia menjadi tengkorak Tutankhamun bagi mencipta semula saiz bibir, kedudukan bola mata, ketinggian telinga dan hidung. “Semua unjuran ini adalah berdasarkan kajian statistik yang dilakukan pada imbasan CT individu hidup daripada beberapa keturunan berbeza,” jelasnya. Dikarang bersama oleh Francesco Galassi, Elena Varotto, Thiago Beaini dan Michael Habicht, penemuan itu akan diterbitkan dalam Jurnal Anatomi dan Embriologi Itali. -CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT