MELAKA: Cuaca panas memberi rahmat kepada pengusaha belacan kerana membantu mempercepatkan proses pengeringan bahan masakan itu. Pemilik perniagaan Belacan Cik Mai, Masnah Abd. Majid, 50, berkata, belacan yang kering dengan sempurna akan meningkatkan lagi ketahanannya dalam tempoh yang lama.
Katanya, menjemur belacan di bawah matahari yang terik hanya mengambil masa satu hari berbanding dua atau tiga hari pada musim tengkujuh. “Saya membuat belacan tiga kali seminggu bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama daripada pelancong. Cuaca panas sangat membantu mempercepatkan proses pengeringan selain memastikan bekalan belacan sentiasa mencukupi. “Saya pernah terputus bekalan jualan kerana belacan tidak cukup kering memandangkan ketika itu musim hujan. Warna belacan yang lembap kurang menarik kerana sedikit gelap selain perlu disimpan di dalam peti sejuk supaya tidak rosak,” katanya kepada Utusan.
Sementara itu, mengenai kekurangan udang geragau ketika ini, Masnah berkata, keadaan tersebut bukan disebabkan cuaca panas sebaliknya musim bahan utama belacan itu telah berlalu. Menurutnya, tangkapan udang geragau sukar dijangka kerana ada masanya nelayan mendapat hasil yang banyak dan selepas itu berkurangan semula. “Harga udang geragau ketika ini RM8 sekilogram dan saya mendapatkan bekalan daripada nelayan di sekitar Pantai Puteri. Bekalan agak terhad kerana di luar musim dan disebabkan itu harganya naik sedikit. “Jika hasil tangkapan banyak, harga udang geragau akan turun sehingga RM5 sekilogram. Di luar musim saya akan membeli antara 10 hingga 20 kilogram (kg) udang geragau tetapi pada musimnya boleh dapat sehingga 100 kg,” ujarnya yang telah 12 tahun membuat belacan. -CARI Sumber: Utusan Online
|
ADVERTISEMENT