New Delhi: Sekumpulan ahli gusti India terkenal, termasuk pemenang Olimpik tidak bertindak mendirikan khemah di sebuah kawasan di sini, sejak 23 April bagi menuntut tindakan dibuat terhadap Presiden WFI, Brij Bhushan Sharan Singh, yang menafikan sebarang salah laku.
Mereka juga bertindak mengugut untuk melemparkan pingat mereka ke dalam Sungai Ganges hari ini dalam usaha menuntut penahanan pemimpin Persekutuan Gusti India (WFI) atas dakwaan gangguan seksual. Ahli gusti termasuk pemenang pingat Olimpik, Sakshi Malik dan Bajrang Punia mengeluarkan kenyataan bersama hari ini dengan menyatakan langkah mereka untuk membuang pingat kemenangan di Sungai Ganges. "Bagi kami, pingat kami adalah suci, begitu juga Sungai Ganges.
"Sungai suci ini adalah penjaga pingat kami yang sempurna, bukan sistem yang melindungi pesalah," kata mereka melalui kenyataan dalam bahasa Hindi. Pada masa sama, atlet itu juga mengugut untuk memulakan mogok lapar di tugu peringatan perang India Gate, selepas melemparkan pingat mereka ke dalam sungai. Brij Bhushan yang juga Ahli Parlimen dari Parti Bharatiya Janata, pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen. Beberapa ahli gusti yang membuat bantahan dengan bergerak ke arah bangunan Parlimen India ditahan Polis Delhi, Ahad lalu, manakala tapak perkhemahan mereka dibersihkan. Brij Bhushan sudah dilucutkan kuasa pentadbirannya sebelum ini namun ahli gusti menuntut penahanannya atas dakwaan gangguan seksual terhadap ahli gusti wanita. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT