Tampil dengan lagu baharu berjudul Kalam, penyanyi Shiha Zikir mendedahkan naskhah terbabit dihasilkan berdasarkan pengalamannya yang tergores hati akibat kata-kata tidak sensitif dilemparkan seorang rakan artis yang juga bergelar sahabatnya.
Pemilik nama sebenar, Nurshiha Mohd Zikir itu berkata, perbuatan rakannya itu tidak hanya membuatkan dia kecil hati tetapi juga berdepan serangan panik akibat kecewa dengan tindakan individu tersebut. Seandainya kata-kata negatif itu datang dari kalangan netizen, Shiha mungkin mengabaikannya dan hanya mengambil komen negatif bagaimanapun, sukar untuk dilupakan apabila ia daripada individu yang kita percaya. "Lirik lagu ini memang ada kena mengena dengan hidup saya. Pernah berlaku tahun lalu saya kena serangan panik hanya disebabkan kata-kata seseorang dalam industri hiburan sehingga buat saya down. "Kata-kata dilontarkan sangat menggores hati saya kerana ia datang daripada seseorang yang rapat dengan saya," katanya.
Meskipun ada kena mengena dengan kisah sendiri, Shiha bagaimanapun melihat Kalam sebagai sebuah lagu yang dekat dengan masyarakat apatah lagi dengan kesan media sosial. Menerusi pemerhatiannya, ramai masyarakat mula mengalami tekanan perasaan disebabkan bahan media sosial dan lagu ini mempunyai mesej tersendiri berhubung hal tersebut.
|
ADVERTISEMENT