Terispirasi dengan pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa, Alvin Chong, 32, bertekad mencuba nasib di luar negara bermula penghujung tahun ini.
“Jadi, saya akan pergi casting di luar negara bermula hujung tahun ini. Negara mana, belum dipastikan lagi. Harapnya London, Filipina atau Singapura. “Pada masa sama, pihak pengurusan saya kenal dengan sebuah agensi di Korea. Saya cuma tunggu masa terbang ke negara itu untuk kejar sesi uji bakat. “Saya tak mahu tangguh, nak jadi seperti Michelle dan Henry, tembusi pasaran luar negara. Saya percaya pada usaha dan rezeki,” katanya. Alvin berkata demikian ketika mempromosikan drama terbaru lakonannya, Journal Sara Haeyo terbitan Viu Malaysia. Mengulas tentang drama tersebut, Alvin menafikan dia menerima bayaran yang terlalu tinggi bagi melakonkan watak Han meskipun pernah merangkul anugerah Persembahan Pelakon Pembantu Terbaik – Digital pada Anugerah Televisyen Asia ke-27 di Filipina Disember tahun lalu.
“Dan saya tidak minta bayaran tinggi sebab proses penggambaran tidaklah berat sehingga memerlukan latihan intensif dan sebagainya. Wardrobe pula disediakan. Jadi tak masuk akal kalau saya letak harga mahal. “Lainlah kalau beban kerja lebih, wardrobe sendiri, barulah masuk akal untuk saya dibayar lebih. “Saya mahu mudahkan proses agar orang senang kerja dengan saya. Saya percaya tindak tanduk kita terhadap orang akan berbalik kepada diri sendiri satu hari nanti,” jelasnya. Ditanya pula tentang berlakon di luar negara, Alvin tidak menafikan ada menerima tawaran daripada produksi negara luar yang berminat untuk bekerjasama dengannya. “Mereka kenal saya melalui Instagram, kemudian hubungi saya menerusi emel. Tapi atas kekangan masa dan komitmen lain, saya terpaksa tolak. “Saya harap akan ada peluang yang sama di masa akan datang. Bayaran bukan isu bagi saya, yang penting jalan cerita. Saya percaya rezeki sentiasa ada,” jawabnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT