Sebelum ini Naufal Azrin, 23, lebih dikenali dengan imej Islamik dan sopan. Namun, sejak mula mencipta fenomena menerusi single duet bersama Nuha Bahrin berjudul Casablanca, dia lebih terbuka memandangkan perlu memenuhi beberapa tuntutan kerja sebagai seorang selebriti.
Terbaharu, penampilan Naufal mencuri perhatian apabila memakai rantai dan mengenakan sut berwarna merah dengan mendedahkan sedikit bahagian dada dalam program realiti, Big Stage, baru-baru ini. Fesyen digayakan mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada peminat yang meluahkan kekecewaan melihat perubahan kepada penyanyi bersuara lunak itu.
Biarpun menerima pelbagai kritikan, Naufal berkata, dia menerima setiap pandangan dengan hati terbuka. "Saya tidak menafikan masing-masing ada pendapat sendiri. Penampilan yang dibawa mengikut konsep lagu untuk dipersembahkan dalam program realiti itu. "Kalau orang cakap saya sudah berubah, tidaklah... Saya masih sama dan tiada perkara mengubah diri saya. "Saya tiada niat menyakitkan hati sesiapa, hanya untuk memenuhi konsep persembahan ketika itu," katanya kepada BH Online.
Diusik tidak sesuai membawa imej seperti itu memandangkan pernah bergelar penyanyi nasyid dan bekas penuntut Maahad Tahfiz Imam Syafie di Hulu Klang, Selangor, Naufal berkata, nasyid adalah genre. "Sebagai penyanyi, saya akan cuba pelbagai genre. Jika dahulu, saya bernasyid, tetapi sekarang tidak lagi. "Mungkin saya akan keluarkan lagu nasyid suatu hari nanti. Sekarang saya bawa lagu cinta. "Saya tidaklah pernah lupa diri. Ini adalah perjalanan kerjaya dan perkara ini sama seperti artis lain juga.
"Saya tidak terfikir tukar imej untuk lebih komersilkan nama. Apa yang dilakukan hanya mengikut konsep persembahan. Jadi, jika imej berubah sekali pun disebabkan tuntutan kerja," katanya. Tambah Naufal, netizen yang memberikan komen negatif dianggap masih belum cukup mengenalinya. "Mungkin kalau berjumpa saya mungkin akan jadi lain. "Di luar itu bukanlah imej saya. Ada masanya orang tak kenal pun saya. "Jadi, saya selesa jadi orang biasa. Tak kisahlah ada yang kenal atau tidak," katanya yang akan lebih berhati-hati mengenai penampilan selepas ini.
Terdahulu, Naufal antara 14 peserta bersaing dalam program Big Stage musim kelima yang bermula sejak 7 Mei lalu. Bagaimanapun, langkah Naufal terhenti apabila mendapat markah terendah pada konsert minggu ketiga, baru-baru ini. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|