Wanita di United Kingdom (UK) hamil sekali lagi dalam 28 hari selepas kehamilan pertama. Portal News Yahoo melaporkan, Sophie Small, 30, pengajar renang dari Herefordshire menyambut kelahiran Holly dan Darcy, pada hari sama, walaupun jarak hamil antara keduanya adalah hampir sebulan.
Ia kerana dia mengalami fenomena dikenali sebagai superfetation iaitu kehamilan baharu selepas kehamilan yang pertama. Sebelum ini, Sophie dan suaminya, Jonathan, 34, sudah dikurniakan seorang anak lelaki bernama Oscar yang berumur enam tahun dan mencuba untuk mendapatkan anak lagi. Akhirnya, Sophie disahkan hamil pada Disember 2019. Walaupun Sophie berasa dia sudah hamil, pasangan itu terus 'mencuba' sebelum disahkan hamil seorang lagi bayi, sebulan kemudian. Sophie menyedari dirinya hamil selepas mengalami simptom mual dan menjalani imbasan kehamilan ketika kandungan pertama berusia tujuh minggu.
Hasil ujian imbasan mendapati Sophie hamil anak kembar tetapi kedua-dua bayi itu berbeza saiz dan ia menyebabkan doktor menjadi keliru. Pasangan itu hanya mendapati kembar itu tidak dikandung pada masa yang sama selepas kelahiran dua bayi itu pada Ogos 2020. Darcy dilahirkan dengan berat 1.87 kilogram (kg) dan kakaknya dilahirkan dua minit kemudian dengan berat 2.75 kg. Selepas kembar itu dilahirkan, Sophie berkata, terdapat perbezaan 35 peratus berhubung tumbesaran mereka sebelum doktor menyedari bahawa dia hamil bayi pertama dan kedua, selang empat minggu. "Darcy adalah 'bayi 32 minggu' dan Holly adalah 'bayi 36 minggu'. "Saya tidak pernah mendengarnya. Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku," katanya. Sumber: Harian Metro
|
hokeypokey replied at 25-5-2023 09:55 AM
eh cemana tu?? buat ivf ke persenyawaan normal??
ADVERTISEMENT