Sharnaaz Ahmad bukan sahaja mampu menampilkan babak pertarungan yang mantap malah berjaya menyentuh perasaan penonton menerusi watak Reza dalam filem Polis Evo 3. Pelakon ini memberitahu ketika penggambaran dia sedang menderita sakit kaki selain mengalami kecederaan lutut.
Malah dia juga terpaksa menjalani pembedahan hidung sebaik sahaja selesai penggambaran filem arahan Syafiq Yusof itu. "Sebenarnya saya banyak tanggung kesakitan pada ketika itu... saya ada masalah dengan sakit gigi pada geraham bongsu saya.
"Benda itu nampak biasa tapi cubalah berlakon dengan sakit gigi... rasa nak marah, menjerit. "Belum lagi saya menanggung kesakitan di bahagian lutut dan saya juga terpaksa jalani pembedahan di bahagian hidung disebabkan habuk yang terlalu tebal di loksi penggambaran," katanya kepada mStar.
Meskipun berdepan dengan ujian dan cabaran namun Sharnaaz bangga menjadi sebahagian daripada pelakon filem berkenaan. "Ramai sedia maklum masa itu saya berdepan dengan pelbagai fasa dalam hidup... cuma saya sibukkan diri saya dengan latihan dan kawal emosi saya. "Bagi saya kerja adalah kerja, tanggungjawab tetap saya laksanakan dengan sehabis baik. Kalau tak mampu buat, saya akan sedih dengan diri sendiri. "Tapi saya bangga menjadi sebahagian daripada Polis Evo 3 dan ini adalah memori yang indah untuk saya kenang," ujarnya.
Bukan itu sahaja, Sharnaaz memaklumkan dia tidak pernah kisah dengan bayaran yang ditawarkan kepadanya untuk melakonkan watak Reza itu. Sebaliknya lebih berazam mahu memberikan yang terbaik bagi kepuasan diri sendiri dan juga penonton.
"Saya tak kisah mengenai bayaran, saya tak kisah berapa saya akan dibayar. Saya cuma mahukan yang terbaik sahaja untuk cerita ini," jelasnya. Selain Sharnaaz, Polis Evo 3 terbitan bersama Astro Shaw dan Skop Productions turut menampilkan Zizan Razak, Shaheizy Sam, Syafiq Kyle, fara Ali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi dan Fezrul Khan. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|