Perdebatan mengenai budaya 'berbaring atau lying flat yang menjadi trend dalam kalangan belia di China tercetus kembali berikutan tindakan seorang lelaki yang memutuskan untuk tinggal di dalam khemah di tempat letak kereta terbiar.
South China Morning Post (SCMP) memetik Tencent News melaporkan lelaki di barat daya China itu, Li Shu, 29, yang juga menganggur, terpaksa tinggal di dalam khemah di parkir kereta di wilayah Sichuan selama lebih 200 hari. Li berkata, idea untuk tinggal di luar rumah bermula pada awal tahun lalu apabila wang simpanannya habis dan dia tidak dapat membayar sewa. Berikutan itu, Li nekad untuk tidak tinggal di rumah sewa dan berpindah ke khemah dan menjual semua barangannya, termasuk kamera dan komputernya dan mendapat 4,500 yuan (kira-kira RM2,907).
Difahamkan, Li mendirikan khemah orennya yang dikelilingi batu-bata di kawasan hutan berhampiran parkir kereta yang tidak digunakan. Tempat itu juga dilitupi sisa pembinaan dan keadaannya begitu teruk hingga yang menyamakannya dengan lokasi pembuangan sampah. Notis di tepi khemah mengingatkan orang yang lalu-lalang supaya menghormati bahawa ini adalah rumah seseorang dan tidak menyentuh barangnya serta memberitahu bahawa ia tidak bernilai. "Kalau kamu nak saya pindah, hubungi saya. Bagaimanapun, saya tinggal di sini buat sementara waktu. "Jika saya menyinggung perasaan kamu, saya akan mohon maaf dan pergi serta-merta. "Lying flat (berbaring) bermaksud melakukan yang minimum untuk bertahan dan berusaha untuk tidak lebih daripada apa yang penting untuk terus hidup," tulisnya dalam notis itu. Ramai melihatnya sebagai tindak balas terhadap budaya tempat kerja China semakin toksik dan terlalu kompetitif, yang amat sukar untuk golongan muda. Li berkata, khemah terpakai itu berharga 400 yuan (kira-kira RM458) dan khemah miliknya adalah yang paling mahal. Selain khemah, Li hanya ada dua pakaian, dapur memasak, periuk aluminium dan beberapa makanan. Meskipun begitu, Li selesa dengan kehidupannya di parkir kereta terbiar. Li berkata, dia menjalani gaya hidup yang tidak konvensional sebelum berpindah ke khemah. Akhir 2018, lelaki itu berhenti kerja dan memutuskan untuk terus menganggur. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT