Setahun sepi, Ajoi Zainal akhirnya secara terbuka mendedahkan dia menderita serangan gangguan kebimbangan (anxiety) selain didiagnos menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Kata Ajoi dia mula mendapatkan rawatan pakar sejak November tahun lalu namun mengambil keputusan untuk tidak bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan. Antara faktor membuatkan dia mula mendapat serangan anxiety adalah kehilangan anak saudara tersayang ketika sedang bertanding dalam program Big Stage 2022 selain tertekan dengan kecaman netizen. “Dalam empat bulan awal selepas tamat Big Stage saya memang banyak berkurung. Saya mula rasakan serangan anxiety apabila rasa takut nak keluar rumah, badan berpeluh sehingga pernah terfikir nak cederakan diri sendiri.
“Selepas berjumpa doktor dan menjalani beberapa sesi terapi barulah saya rasa semakin sembuh. Doktor cadangkan untuk makan ubat namun saya takut terlalu bergantung. “Sebab itu selama ini saya berdiam diri kerana doktor juga beri cadangan supaya saya menjauhi media sosial. Sepanjang tempoh 11 bulan sebelum ini saya cuba lawan sakit ini seorang diri,” katanya kepada mStar. Ajoi sebelum itu berkongsi video nyanyiannya di laman Instagram sebagai tanda sedia untuk kembali dan meneruskan kerjaya seni.
Bercakap tentang penyakit yang dialaminya itu, Ajoi memberitahu dia juga turut menghantar mesej kepada pelakon Sharifah Sakinah yang juga pernah mendedahkan menghidap ADHD. “Saya ada DM dia (Sakinah) tentang ADHD. Panjang lebar saya bertanya tentang simptom dan sebagainya. Dia ada memberikan kata-kata semangat buat saya. “Sepanjang saya berdepan dengan masalah ini ada juga seorang sahabat yang banyak membantu. Dia beri saya semangat untuk pulih.
“Selain itu kekuatan saya bertahan adalah sentiasa ingat Tuhan. Dalam apa juga keadaan saya kena kuatkan diri supaya tidak menjadi lebih teruk,” ujarnya. Tambahnya dia kini sedia untuk kembali dalam dunia hiburan dan bakal melancarkan sebuah lagu baharu yang sudah siap dirakam sebelum ini.
Malah Ajoi juga terharu dengan penerimaan peminat selepas dia memuat naik video terbaharu di laman Instagram pada Sabtu. “Saya menangis apabila ramai yang memberi maklum balas positif. Ada yang masih ingat dan terus memberi saya semangat. “Sekarang ini saya sudah sedia untuk kembali. Mungkin sudah 95% pulih dan apabila kembali aktif nanti saya harap dapat sembuh sepenuhnya,” jelasnya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|