Tiga tahun lepas, nama Athalia Deena Buswani atau Athalia, 20, pernah meledak dengan kontroversi video TikTok yang tular membabitkan dia dengan Alvin Chong. Bermula dari situ jugalah identitinya sebagai anak sulung penyanyi lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina, 42, mula terdedah dan menjadi perhatian ramai terutama di media sosial.
Athalia juga mewarisinya bakat nyanyian ibunya dan gembira mendapat restu keluarga. Malah dia juga sudah menghasilkan beberapa single duet untuk mengetengahkan bakat seninya.
Katanya dia meminati bidang muzik sejak kecil kerana selalu menemani ibunya membuat persembahan. Bagaimanapun, ketika masih bersekolah dulu, ibu ada meminta agar tidak mengikut jejaknya terbabit dalam karier seni. "Tapi, saya sendiri sudah memulakan langkah sebagai 'content creator' di TikTok dan mama mengetahuinya kerana menjana pendapatan. Sejak itu, dia sokong dan memberi banyak nasihat agar jangan buat itu dan buat ini.
"Alhamdulillah, syukur sebenarnya sebab saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Apatah lagi, dulu saya pun membesar dengan mengikut mama ke mana saja dia pergi membuat persembahan," katanya. Mengulas dirinya yang berterusan dikaitkan dengan ibu tersayang, Athalia berkata, dia melihat positif dan itu perkara yang baik. Katanya, dia tidak perlu berasa sedih, kecewa atau kesal apabila mereka sentiasa dikaitkan.
"Saya memang okay saja bila orang kaitkan, itu anak Sharifah Zarina. Patutlah, mak dia pun penyanyi. Bagi saya apa yang dikatakan itu memang betul dan tak salah langsung. Jadi, biarkan sajalah. "Mama pun sentiasa menjadi penyokong di belakang saya dalam segala keadaan. Dia selalu memantau tindakan saya dan pada masa sama, kalau tiba-tiba dikecam netizen, mama akan tenangkan saya dan selalu ingatkan jangan layan.
"Kita tak boleh puaskan hati semua orang dan paksa mereka suka pada kita. Jadi, dengan adanya platform media sosial ini, tak boleh nak kata apa. Netizen memang akan cakap (komen) macam-macam," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|