Wawa Zainal masih belum berpuas hati dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menciplak produk keluaran syarikatnya, Wawa Cosmetics. Katanya dia tidak akan menghalalkan pendapatan yang diraih pihak terbabit.
“Sampai sekarang saya masih geram. Saya memang takkan halalkan pendapatan diperoleh mereka hasil daripada menjual produk ciplak Sunscreen Wawa Cosmetics,” katanya. Wawa, 32, kini mengerti perasaan peniaga yang usaha keras mereka dikecewakan dengan kewujudan produk tiruan.
“Akhirnya mimpi buruk yang dialami peniaga lain terjadi pada saya. Selama ini saya hanya mendengar masalah usahawan lain apabila produk mereka diciplak. “Tindakan mereka sangat jahat dan begitu berani seolah-olah produk itu milik mereka. “Perkara sebegini memang tidak difikirkan oleh pihak yang menjual barang tiruan. Mereka tahu nak duit dan untung saja,” katanya.
Menurut Wawa yang juga penaja program Big Stage musim kelima, pihaknya sedang berusaha untuk mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa. “Sekarang ini saya dan pasukan sedang giat memberitahu semua reseller dan pengguna khususnya macam mana nak bezakan produk asli dan tiruan. Saya berharap mereka jelas dan tidak terpedaya.
“Walaupun produk Wawa Cosmetics dijual di semua platform dalam talian, tapi ciri-ciri khas seperti kod bar, warna dan kualiti kandungan tetap diutamakan. Insya-Allah, perkara ini juga kami akan bawa ke depan agar tidak berulang lagi,” katanya. -CARI Sumber: Kosmo
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|