CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

JPJ Sasar Kutip Hasil Lebih RM5 Bilion

16-5-2023 02:11 PM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 168| Komen: 1

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan kutipan hasil lebih RM5 bilion tahun ini susulan pelbagai program dan inisiatif pendigitalan yang dilaksanakan.

Ketua Pengarah, Datuk Zailani Hashim, berkata tahun lalu, jabatan itu mengutip RM4.29 bilion dengan 64.5 peratus disumbang oleh pembayaran cukai jalan.


"Sasaran peningkatan kutipan hasil itu mengambil kira inisiatif pendigitalan yang memudahkan orang ramai berurusan dengan JPJ tanpa hadir ke pejabat.

Datuk Zailani Hashim (kanan) meninjau kios JPJ pada Majlis Perasmian Rumah Kios dan Sambutan Aidilfitri Peringkat JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - NSTP/NAZDY HARUN

"Kutipan hasil JPJ antara yang tertinggi selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kalau ikut statistik tahun lalu, kita berjaya kutip purata RM11 juta sehari," katanya.


Bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Rumah Kios dan Sambutan Aidilfitri Peringkat JPJ Terengganu, di sini hari ini, beliau berkata, terdapat 201 Rumah Kios JPJ di seluruh negara setakat ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak RM120.7 juta hasil berjaya diperoleh menerusi perkhidmatan berkenaan yang membolehkan orang ramai melakukan transaksi bagi urusan berkaitan tanpa perlu ke kaunter perkhidmatan di pejabat JPJ.

Kios layan diri itu ditempatkan di lokasi strategik seperti pejabat kerajaan di beberapa kementerian, stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang. Antara urusan boleh dilakukan di kios itu, termasuk memperbaharui dan mencetak cukai jalan (LKM).

Orang ramai juga boleh mencetak salinan sijil pemilikan kenderaan (VOC) serta membayar saman trafik di kios itu yang turut berfunsgi memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

Sementara itu, Zailani berkata, sehingga 12 Mei lalu, seramai 9,564 pemilik lesen telah memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh maksimum 10 tahun.

"Pelaksanaan inisiatif ini amat memudahkan dan mendapat sambutan baik rakyat. Selain dapat memperbaharui lesen memandu untuk tempoh 10 tahun sekali gus, mereka juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerana ada diskaun 10 peratus," katanya.

Mengenai kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh, beliau memaklumkan, setakat ini seramai 1,551 individu sudah memperbaharui lesen mereka yang tidak diperbaharui melebihi tiga tahun sebelum peluang itu berakhir 31 Disember depan.

"Mereka boleh terus ke kaunter JPJ untuk perbaharui lesen memandu tanpa perlu ke institut memandu untuk menduduki semula ujian memandu. Peraturan sekarang, selepas tiga tahun lesen memandu tidak diperbaharui, ia dikira luput dan ujian memandu perlu diambil semula.

"Dengan kos yang tinggi untuk kembali mendapatkan lesen, kerajaan melaksanakan inisiatif dengan memberi peluang ini sehingga 31 Disember kepada individu yang lesen memandu lebih tiga tahun boleh terus memperbaharuinya di JPJ.

"Kemudahan ini diambil dengan mengambil kira kos yang tinggi sekiranya seseorang hendak mendapatkan kembali lesen kerana perlu menduduki peperiksaan di IM," katanya.

Kebenaran khas pembaharuan LMM tamat tempoh diberikan kerajaan mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang pandemik COVID-19 serta kekangan dihadapi rakyat Malaysia di luar negara yang tidak dapat memperbaharuinya kerana tidak berpeluang pulang ke tanah air.

Kementerian Pengangkutan memberi kebenaran khas kepada mana-mana pemegang LMM yang telah tamat tempoh sah laku untuk memperbaharui LMM masing-masing tanpa perlu menjalani semula ujian, terhad kepada LMM yang tempoh sah laku tamat mulai 1 Januari 2018 dan ke hadapan.

Tempoh kebenaran khas ini hanya berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2023 dan peraturan sedia ada akan berkuat kuasa semula pada 1 Januari 2024. Dasar sedia ada, pemegang lesen yang sudah tamat tempoh melebihi tiga tahun perlu mengambil semula ujian memandu.


Sumber: BH Online

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-1-2025 05:30 PM GMT+8 , Processed in 0.054888 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top