Semakin serius menyusun langkah dalam bidang nyanyian, personaliti media sosial Ryan Bakery tidak pernah bermimpi untuk bertanding dalam mana-mana pentas anugerah bagi mengukur kredibiliti vokal dan lagu nyanyiannya.
Ryan atau Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 28, berkata, sudah cukup baginya jika lagu-lagu nyanyiannya mendapat sambutan baik pendengar sebagai hiburan telinga. "Tak pernah terfikir pun nak bertanding di pentas anugerah dalam bidang nyanyian. Saya menyanyi hanya sekadar suka-suka sahaja. Tetapi itu tidak bermakna saya main-main sebagai penyanyi. "Saya suka tampil dengan lagu-lagu rakyat dan jenaka yang boleh memberi mesej kepada orang ramai sambil menghiburkan peminat. Selain itu, lagu-lagu saya juga boleh dijadikan muzik latar bagi kandungan di media sosial," katanya. Ryan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Bersempena sambutan Aidilfitiri lalu, Ryan tampil dengan lagu berjudul Raya Last Minit yang merupakan duet bersama Andi Bernadee. Ryan juga bakal melancarkan single kedua yang juga lagu duet pada Julai nanti. Bercakap tentang pencalonan top 20 ABPBH35, Ryan berkata, ia merupakan cabaran besar buatnya untuk kekal relevan selepas pernah memenangi trofi undian peminat dalam acara berbeza sebelum ini.
|
ADVERTISEMENT