London: Duda yang ingin mencari kekasih sanggup mengambil suntikan botulinum toxin atau botox. Lebih mengejutkan, prosedur kecantikan itu dilakukan sendiri oleh bekas isterinya.
Mirror UK melaporkan Angus Kennedy, 58, berpisah dengan pakar kecantikan, Sophie Kennedy, 47, pada Januari tahun ini dan kini wanita itu sudah menemui cinta lelaki lain manakala Angus masih bujang. Lelaki dari Dartford, Kent itu mengakui gementar ketika memberitahu Sophie mengenai keinginannya mencari cinta dan bekas isterinya itu mencadangkan lelaki itu mengambil suntikan botox untuk menghilangkan kedutannya. "Saya memberitahu Sophie bahawa ini adalah peluang terakhir saya untuk mencari cinta. "Saya sudah pergi ke gim, mengamalkan diet dan membeli pakaian baru. Dia mencadangkan botox untuk menghilangkan kedutan saya, jadi saya melakukannya dan sangat gembira dengan hasilnya.
"Hakikatnya Sophie berusaha keras untuk membantu saya bertemu seseorang dan ia bukti persahabatan kami," katanya. Mengulas lanjut, dia tidak pernah melakukan sebarang prosedur kecantikan sebelum ini dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Sophie. "Penampilan sangat penting apabila mencari cinta lebih-lebih lagi sekarang dengan temu janji dalam talian. Prosedur itu memberi keajaiban untuk keyakinan saya selepas bercerai. "Saya mengalami kedutan di sekitar kening dan dahi yang sudah memberikan saya wajah lebih segar. Saya harap ia membantu apabila saya keluar 'dating'," katanya. Sophie biasanya mengenakan bayaran 250 pound sterling (kira-kira RM1,400) untuk jenis botox yang diberikan kepada Angus tetapi selepas berbincang dengan pemilik salun, Sophie memberikan rawatan kepada Angus secara percuma. Sophie berkata, penting buat Angus mempunyai peluang terbaik untuk mencari cinta dan berharap dia berjaya memainkan peranan membantu bekas suaminya itu. Angus dan Sophie yang mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup mereka memfailkan perceraian pada 2021 selepas bersetuju untuk berpisah. Namun pasangan itu kekal sebagai kawan rapat dan masih bertemu bagi acara keluarga. -CARI Sumber: Harian Metro
|
Saya memberitahu Sophie bahawa ini adalah peluang terakhir saya untuk mencari cinta
ADVERTISEMENT