Sehelai gaun pengantin memecahkan Guinness World Records apabila dihiasi lebih 50,000 batu kristal sekali gus menjadikan ia persalinan pengantin paling banyak memiliki kristal. Wion News kelmarin melaporkan, Guinness menyatakan busana yang mengambil masa empat bulan untuk disiapkan itu dipamerkan kali pertama pada 14 April lalu semasa pertunjukan fesyen Si Sposaitalia Collezioni di Milan, Itali.
Ia yang dihiasi 50,890 kristal Swarovski, dihasilkan sebuah firma pengantin dengan kepakaran dalam menghasilkan gaun pengantin mewah dan tempahan khas, Michela Ferriero. Pengasas bersama butik tersebut, Michela Ferriero berkata, dia menghasilkan gaun tersebut selepas mengkaji fabrik sesuai untuk meletakkan batu kristal itu. Persalinan tersebut dihasilkan dengan kerjasama pembuat corak dan sekumpulan tukang jahit mahir. Setiap kristal itu dijahit satu demi satu dengan menggunakan jahitan tangan. Proses tersebut mengambil masa 200 jam waktu bekerja. Rekod sebelum ini dipegang oleh firma Zden Gelinlik Moda Tasarim dari Turkiye yang menghasilkan gaun pengantin bertatah 45,024 kristal pada 29 Januari 2011 di Istanbul. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT