Padang Terap: Polis menahan lapan warga asing termasuk dua wanita berikutan penemuan 10 kilogram (kg) ganja pada Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata, tangkapan dilakukan pada jam 10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.
Beliau berkata, anggota polis melakukan rondaan cegah jenayah di Jalan Padang Setul, Kuala Nerang dan terserempak dengan sebuah kenderaan mencurigakan. "Polis mengekori kenderaan terbabit sehingga berhenti di kebun getah Kampung Padang Setul, Kuala Nerang dan pemeriksaan dan mendapati terdapat tujuh penumpang lagi iaitu tiga lelaki Myanmar, dua lelaki Thailand dan dua wanita Myanmar. "Di dalam kereta ada beg mengandungi ketulan mampat disyaki ganja dan satu guni disyaki ganja," katanya. Mulkiaman berkata, empat suspek terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala empat lagi mempunyai pasport tetapi tiada cop rasmi dari Jabatan Imigresen untuk masuk ke negara ini.
Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia antara 19 hingga 48 tahun. "Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952 serta Akta Imigresen. "Semua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 Mei hingga 17 Mei ini," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT