Ernie Zakri mendedahkan mendapatkan suntikan antibiotik akibat mengalami masalah kehilangan suara pada hari projek mega Konsert Satu Suara Vol:3 yang dijayakan bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyanyi legenda Jay Jay di Mega Star Arena, Sungei Wang, Kuala Lumpur.
“Saya kehilangan suara pada pagi sebelum konsert berlangsung. Hal itu juga menyebabkan saya tidak datang ke sesi latihan kerana percaya jika paksa diri, saya mesti tidak boleh membuat persembahan pada malam hari. “Jadi saya bertemu doktor dan diberikan suntikan antibiotik untuk memastikan saya sihat dan boleh bekerja pada malam ini,” ujar Ernie saat ditemui media pada sidang akhbar konsert berkenaan. Isteri penyanyi Syamel itu juga mengaku dia tidak mempunyai plan B atau alternatif lain untuk memastikan dirinya boleh beraksi pada konsert amal yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Production tersebut.
“Tak, tak ada plan B. Yang saya tahu saya tetap kena menyanyi tadi. Jadi suamilah jadi runner pergi beli semua ubat yang disarankan Abang Jay Jay dan Datuk Seri Siti,” katanya menjawab soalan wartawan. Menurut Ernie, ini bukan pertama kali dirinya kehilangan suara sebelum membuat persembahan. Dia pernah berdepan pengalaman sama sewaktu konsert yang dijayakan bersama Syamel sebelum ini. “Ini kali kedua saya hilang suara. Saya percaya ini kerana faktor kurang rehat dan penat,” katanya lagi. Sementara itu bercakap tentang pembabitan dalam Konsert Satu Suara Vol: 3, Ernie mengatakan ia adalah sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.
|
ADVERTISEMENT