Kuala Lumpur: Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil, 68, yang agak kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan sudah mula menunjukkan perkembangan positif.
Perkembangan terkini itu dikongsi rakan penyanyi, Haiza Hanafi. Menurut info dikongsi oleh keluarga terdekat Rohana, penyanyi lagu Rayuanku itu sudah dipindahkan di wad biasa, namun masih dalam pemantauan pihak hospital. "Alhamdulillah, saya gembira dan bersyukur dapat menziarahi Rohana tempoh hari. Dia mempunyai semangat sangat kuat untuk kembali pulih seperti biasa. "Rohana juga bersungguh-sungguh memberitahu saya bahawa mahu cepat sembuh dan kembali pulang ke rumah untuk bersama keluarga," katanya kepada BH Online. Jelas Haiza, dia berkesempatan menziarahi penyanyi yang dihormatinya itu sempena Aidilfitri, malah turut mengajak seluruh peminat supaya mendoakan kesihatan Rohana.
Sebelum ini, media melaporkan Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil dimasukkan ke hospital berkenaan, sebelum selamat menjalani pembedahan bagi merawat kebocoran pada usus. Ibu kepada pelakon Kilafairy itu kemudian dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU) hari ini dengan pemantauan rapi doktor. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT