Selaku juri dalam program Big Stage musim kelima (BS5), penyanyi dan komposer Ajai memberitahu tiada istilah persaingan di antara peserta tempatan dan luar negara tahun ini. Ajai atau Muhammad Faizal Maas, 48, berkata setiap peserta mempunyai potensi untuk bergelar juara asalkan mereka memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
"Bila sebut tentang persaingan di antara peserta saya rasa kita tidak boleh cop pertandingan ini perlukan pesaing sama ada dari Malaysia, Singapura atau Indonesia. "Siapa saja yang sedap menyanyi dia akan dinobatkan sebagai pemenang," katanya kepada mStar. Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media minggu pertama Big Stage musim kelima yang diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor. Dalam pada itu, Ajai berkata penyertaan penyanyi dari luar ini juga dapat memberikan peluang kepada peserta Malaysia untuk melihat cara mereka bekerja.
"Saya rasa ini juga peluang buat peserta-peserta negara kita lihat bagaimana cara kerja penyanyi luar. "Peserta boleh lihat bagaimana peserta lain buat homework dan mungkin ia boleh jadi satu pembelajaran yang baharu selain dia dapat daripada juri atau pun pihak produksi. "Sebenarnya pergaulan itu mereka boleh nampak nanti macam mana modul peserta luar negara yang bukan orang Malaysia bekerja," ujarnya.
|
ADVERTISEMENT