Buat pertama kali, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) memohon maaf di atas kematian wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh selepas genap setahun kematiannya akibat peluru menembusi belakang kepalanya ketika membuat liputan penguasaan tentera Israel di Jenin, Tebing Barat.
IDF mengakui terdapat ‘kemungkinan besar’ Shireen ditembak tentera Israel. Permohonan maaf itu dikemukakan jurucakap IDF, Rear Adm. Daniel Hagari, dalam wawancara bersama hos CNN, Eleni Giokos dalam program Connect the World yang disiarkan pada Khamis. “Saya fikir ini adalah kesempatan terbaik untuk saya menyatakan bahawa kami sangat kesal dengan kematian Shireen Abu Akleh,” katanya. “Beliau (Shireen) merupakan wartawan yang sangat terkenal. Di Israel kami menghargai demokrasi dan dalam sebuah demokrasi, kami melihat betapa tingginya nilai kewartawanan dan kebebasan media.
“Kami inginkan wartawan berasa selamat di Israel, terutama dalam masa perang walaupun mereka mengkritik kami,” tegasnya lagi. Pada 11 Mei tahun lalu, Shireen terbunuh dalam serangan yang berlaku sekitar pukul 6.30 pagi dan ketika insiden berkenaan, dia bersama sepasukan wartawan lain sedang berdiri di pintu masuk kem pelarian di Jenin. Kesemua wartawan yang berada di situ bagi mengadakan liputan serangan tentera rejim Israel mengenakan jaket (vest) biru iaitu pengenalan diri mereka sebagai pengamal media. Shireen yang berdarah Palestin-Amerika berusia 51 tahun ketika itu. Sumber: AWANI
|
ADVERTISEMENT