Wakil stesen televisyen TV3 ketika disoal pihak media berkata, pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kenyataan rapper dan penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow, 43, yang mempersoalkan tentang kerelevanan konsep anugerah dan pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL).
Petang semalam, Joe Flizzow mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa AJL sudah tidak relevan dan membuatkan industri muzik menjadi mundur. Bahkan, Joe yang mempertikaikan kaedah pemarkahan dan kredibiliti juri yang dilantik mengadili AJL juga beranggapan bahawa pertandingan itu sudah tidak perlu diteruskan lagi. Menurut Joe dalam wawancaranya bersama Utusan Malaysia, dia sebetulnya sudah tawar hati untuk bertanding di AJL. “Sebenarnya saya sudah tidak mahu masuk bertanding untuk AJL yang lalu. Tapi pengurus saya kata, pasukan saya sudah berusaha keras untuk lagu Satu Malam Di Temasik. Jadi saya masuk sebab mereka,” katanya.
Joe juga berpendapat, jika industri benar-benar ingin memartabatkan penyanyi dan komposer, sudah tiba masanya industri muzik tanah air mempunyai satu acara anugerah yang benar-benar signifikan, relevan dan tidak membuat industri semakin ke belakang seperti mana Grammy. Pemenang Naib Juara AJL Ke-37 menerusi lagu Satu Malam Di Temasik ini mengeluarkan kenyataan demikian sejurus selepas selesainya sidang media konsert sulungnya, This Is Johan Live In Concert yang akan bertempat di Jio Space di Petaling Jaya pada 15 Julai ini. Menerusi lagu Aku Tanya Apa Khabar yang dipersembahkan secara duet bersama Sonaone, lagu ciptaannya bersama rapper muda itu telah dinobatkan sebagai juara AJL ke-29. Sumber: Getaran
|
ADVERTISEMENT