Polis menahan lelaki asing yang memiliki taraf pemastautin tetap susulan penemuan mayat warga emas berlumuran darah dengan luka di leher di dalam kereta. Difahamkan, mayat mangsa ditemui di hadapan Selayang Centre Point, Jalan Selayang Baru, Batu Caves, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed mengesahkan mangsa warga tempatan lingkungan usia 70-an itu ditemui di tempat duduk pemandu Perodua Kancil oleh orang awam yang melaporkan kejadian pada 10.10 pagi. "Siasatan awal mendapati mangsa beralamat di Selayang Baru berpakaian baju kemeja dan berseluar slack berada di tempat duduk pemandu dalam keadaan berlumuran darah. "Pemeriksaan forensik menemui kesan luka parah di leher dan turut ditemui objek tajam dipercayai senjata pembunuhan," katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, suspek lelaki lingkungan 40-an berjaya diberkas pada 4 petang hari kejadian dan kini direman tujuh hari hingga 16 Mei untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 01286718024 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 0361262222. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT