Dalam memuji, pelakon dan usahawan Wawa Zainal tidak lari daripada kejian selpeas mengeluarkan belanja jutaan ringgit bagi menaja program Big Stage musim kelima (BS5). Tanpa usul periksa, netizen yang kurang senang dengan tindakannya itu mengecam Wawa dan suami, pelakon Aeril Zafrel yang disifatkan membazir kerana menaja program berbentuk hiburan dan tidak mendatangkan faedah.
Menerusi ruang komen di Instagram mStar, ada segelintir pula beranggapan Wawa dan Aeril sepatutnya menjaga program berbentuk keagamaan dan bukannya hiburan. Malah, ada menyarankan pasangan itu membuat sumbangan kepada rancangan yang dapat membantu golongan fakir miskin. Tenang menjawab tuduhan dilemparkan terhadap mereka, Aeril atau Suhairil Sunari, 35, menjelaskan bukan menjadi fokus mereka untuk sering berkongsi tentang amalan yang dilakukan di media sosial. "Segala amal kami, jarang kami tunjuk atau viralkan di media sosial dan mungkin sebab itu ada menganggap kami tak pernah beramal. "Kalau mahu saya senaraikan satu peratu apa amal kebajikan yang kami buat, orang akan mengata pula. Apatah lagi kalau nak tunjuk di media sosial. "Kita tidak ada kuasa untuk menentukan dosa dan pahala seseorang kalau kita sendiri tak tahu niat di sebaliknya. Cukup-cukuplah menjatuhkan hukum pada orang lain," katanya. Sebelum ini, menerusi laporan mStar pada 8 Mei lalu, Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 32, menerusi jenama produknya iaitu Wawa Cosmetic menjadi artis pertama menaja program nyanyian. Pasangan ini mengeluarkan modal besar dalam usaha memperkenalkan jenama tersebut selain meningkatkan jualan produk keluaran mereka. Dalam pada itu, Aeril turut melahirkan rasa terima kasih kepada netizen atas teguran dibuat dan menerimanya dengan hati terbuka. "Tujuan saya dan Wawa menaja BS5 adalah untuk membantu reseller menjana pendapatan. Kalau kami di pihak pengurusan tidak promosikan produk, bagaimana masyarakat hendak tahu? "Mereka (reseller) terdiri daripada peniaga kecil, ibu tunggal, suri rumah dan malah golongan pelajar. Kesemua mereka ini mahu mengubah nasib diri dan membantu menjana pendapatan keluarga. "Alhamdulillah sudah ramai peniaga kecil yang dilahirkan sehingga ada bergelar usahawan dan jutawan," jelasnya. Sementara itu, pasangan ini juga mengumumkan bakal membina sebuah masjid yang mampu memuatkan seramai 700 orang jemaah di kampung halaman Aeril di Johor sebagai salah satu kerja amal kebajikan mereka. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT