Satu video tular di TikTok memaparkan seorang pemuda mampu meniru gaya percakapan Anwar Ibrahim. Azman Azeez, 27, berkata dia sememangnya gemar menonton video di YouTube yang memaparkan ucapan orang kenamaan negara sejak kecil.
"Saya memang ada kelebihan sedikit untuk mengajuk suara pemimpin negara seperti Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Tun Razak, biasanya saya selalu buat dengan kawan-kawan. "Jadi kebetulan waktu saya menghadiri tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story pada Isnin malam, kawan saya request 'buat suara' sedikit, saya pun buat la. "Saya dari kecil selalu cuba tiru suara Anwar. Siapa yang kawan dengan saya, mereka akan tahu bakat terpendam saya ni. Saya jarang nak post dekat media sosial, sekali bila saya post semalam terus meletup. "Dulu waktu saya mula cuba, saya perasan nada suara saya hampir sama dengan Anwar Ibrahim. Itu yang saya teruskan asah dan berlatih, sekarang saya dah boleh bercakap seperti Anwar sendiri," katanya kepada mStar.
Azman yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno bahagian Baling, Kedah, semua ini hanya bermula dengan minat yang menebal. "Saya bukanlah pakar dalam bidang suara seperti menyanyi dan yang seangkatan dengannya, cuma sebab entah macam mana saya berminat. "Saya akan simpan dua hingga tiga video pemimpin negara berucap dalam majlis yang saya suka, saya akan ulang-ulang banyak kali. Di samping saya dengar, saya akan ikut bercakap sekali. "Bila dah kerap sangat buat, saya dapat tangkap rentak percakapan Anwar dari segi suara, nada dan gaya dia. Practice makes perfect. "Kebetulan juga macam saya cakap tadi, tone suara saya hampir sama dengan Anwar, itu yang lebih memudahkan. Kalau ikutkan suara Anwar sebenarnya susah nak tiru, sebab suara dia 'dalam' sedikit," jelas Azman. Azman berkata dia hanya membuat lakonan suara pemimpin negara ini secara suka-suka dan tidak ada niat untuk mengejar keuntungan peribadi. "Saya tak buat ini secara harian dan serius, cuma untuk berhibur dengan kawan je. Kalau ada majlis keluarga, mereka akan panggil saya ke depan untuk buat suara Anwar. "Sekarang buat suka-suka je tapi tak tahu la kalau lepas ni boleh masuk show ke apa," katanya berseloroh. Azman juga sempat mempersembahkan petikan ucapan Najib Razak yang boleh ditirunya dan ternyata ia kedengaran seperti tuan empunya badan sendiri yang sedang berbicara! "Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia! "Kalau untuk Anwar, saya kena tarik sedikit suara saya, sebab ada sengau dia. Kalau Najib, suara dia mendatar," cerita Azman. Azman berkata sejak videonya tular, ramai yang meminta dia meniru suara figura terkenal dan pempengaruh tempatan. "Saya boleh buat sikit suara Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tapi itu kena banyak berlatih lagi. "Next target saya? Itu saya tak tak tahu lagi. Nak kena tengok dekat ruang komen, ramai yang minta saya tiru suara macam-macam orang. "Kalau free nanti saya akan cuba," katanya menutup bicara. Menjengah ke ruangan komen, ada yang meminta Azman untuk cuba meniru suara Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Tak sangka Khairul Aming bukan sahaja pandai masak, sekarang dah boleh cakap macam PM," kata warga maya merujuk kepada wajahnya yang dilihat sama seperti pempengaruh itu. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT