Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low merupakan ‘pengarah bayangan’ di sebalik transaksi pelaburan dana luar pesisir bernilai AS$2.3 bilion.
Kevin Michael Swampillai berkata, Jho Low berperanan memberi ‘lampu hijau’ meluluskan pelaburan dana dalam Brazen Sky Limited manakala bekas pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti Jasmine Loo dan Terence Geh melaksanakan arahan tersebut. Beliau yang merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Kekayaan di Bank BSI Cawangan Singapura berkata, Jasmine dan Terence tidak diberi kuasa membuat keputusan dan terpaksa merujuk kepada Jho Low selaku individu paling berkuasa dalam 1MDB. “Jho Low seperti ‘pengarah bayangan’ dan arahan beliau paling kerap dilaksanakan,” demikian jelas saksi pendakwaan ke-44 pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Terdahulu, Kevin dirujuk dengan pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa Brazen Sky membuat `keputusan bebas’ berhubung niat untuk memindahkan aset kepada dana fidusiari AS$2.3 bilion. Jelasnya, peranan bank berkenaan dalam mengenal pasti dana fidusiari melibatkan Bridge Partners dan Brazen Sky. Kevin bersetuju dengan cadangan pasukan pembelaan bahawa Jho Low kerap dirujuk dan dalam isu melibatkan Brazen Sky, wujud fakta bagi menyokong pemerhatian beliau bahawa kebanyakan arahan dikeluarkan oleh Jho Low. Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama. Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah. Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013. Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung esok. – CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT