Walaupun keupayaan dan kemampuan kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) memberi manfaat dalam membantu memudahkan banyak urusan manusia meliputi semua aspek termasuk bidang pendidikan dan pembuatan, revolusi AI juga kurang disenangi segelintir pihak.
Mana tidaknya, apabila ia disalahguna sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, ia memberi kesan buruk dan boleh mencalar imej. Menerusi perkongsian @magmalaya di Twitter, dia mendakwa terdapat pihak yang menggunakan gambar mana-mana wanita yang diperoleh di media sosial untuk tujuan tidak bermoral. Katanya, mereka yang tidak bertanggungjawab membuat kerja dengan teknologi AI untuk menggantikan badan seseorang dengan gambar bogel. Susulan itu, dia kemudiannya meminta kaum wanita mengurangkan perkongsian gambar di media sosial.
Pendedahannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warga maya. Paling mengejutkan apabila salah seorang pelayar lain yang membuat ciapan balas memaklumkan pengubahsuaian imej tersebut untuk tujuan perniagaan. Malah, ia turut diakui beberapa lagi pelayar yang menyatakan AI memudahkan kerja untuk memanipulasi gambar. Tidak kurang juga yang berasa kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah individu apabila sewenang-wenangnya menyalahgunakan privasi orang lain dengan kecanggihan teknologi. Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT