Kota Kinabalu: Beberapa lagi pakej fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan kebanyakannya di kawasan pantai timur negeri ini, dijangka mula dilaksanakan tahun ini. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata secara keseluruhan sebanyak 20 pakej lagi belum dimulakan dalam fasa satu projek itu yang dianggarkan membabitkan RM10 hingga RM12 bilion.
Katanya, pakej baharu yang akan mula dilaksanakan pada tahun ini ditentukan menerusi satu makmal penilaian kerja yang dilaksanakan pada bulan ini. "Setakat ini projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sudah dimulakan sedang giat dilaksanakan dan saya difahamkan dalam bulan ini satu makmal penilaian akan dilakukan untuk memurnikan pakej yang akan dilancarkan dalam tahun ini. "Jadi, saya amat berharap baki 20 lagi pakej fasa satu Lebuhraya Pan Borneo Sabah akan dapat mula dilaksanakan sebelum hujung tahun ini," katanya pada Rumah Terbuka Aidilfitri Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan semasa pelaksanaan projek lebuh raya itu di Sabah yang setakat ini membabitkan pelaksanaan 15 pakej termasuk tiga hampir siap sepenuhnya. Secara keseluruhan, fasa satu projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membabitkan 35 pakej bermula dari sempadan Sabah dan Sarawak di Sindumin, Sipitang hingga ke Tawau dengan jarak lebih 700 kilometer. Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata kebanyakan pakej kerja belum bermula adalah bagi laluan bermula dari simpang Tawau - Semporna ke Lahad Datu dan Kinabatangan serta dari Telupid ke Ranau. Selain itu, katanya, beberapa pakej lagi yang belum bermula setakat ini berada di laluan Tuaran - Simpang Mengayau, Kudat, iaitu di pantai barat dan utara negeri ini. "Sebenarnya, daripada 20 pakej yang belum bermula itu, ada 15 pakej sudah siap ditender dan reka bentuk juga sudah siap. "Cuma, disebabkan pelaksanaannya tertangguh dalam tempoh lebih dua tahun, maka satu jawatankuasa 'value assesment lab' diwujudkan bagi memurnikan atau memastikan harga dan reka bentuk yang diguna pakai adalah yang terkini. "Tujuannya, supaya kita dapat meminimumkan atau mengurangkan risiko tambahan kos apabila pelaksanaannya bermula nanti," katanya. Sementara itu, Shahelmey percaya sebahagian besar daripada RM20 bilion peruntukan untuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 diagihkan ke negeri ini. Katanya, ia bagi membolehkan baki 20 pakej kerja fasa satu dapat mula dilaksana dan disiapkan. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT