Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel, 25, menyarankan artis muda agar tidak ketinggalan melibatkan diri dalam mana-mana persatuan membabitkan anak seni. Kata penyanyi lagu Sumpah itu, perkara tersebut perlu bagi mengelakkan golongan berkenaan ketinggalan dan terlepas pandang tentang banyak perkara, termasuk hal kebajikan penggiat seni, isu dalaman serta perkembangan semasa tentang industri berkaitan.
“Saya percaya, untuk kita faham satu-satu keadaan, kita kena lalui dan berada di dalamnya. Begitu juga tentang kesatuan, kita kena sertai, untuk kita faham apa yang berlaku di dalamnya. “Sebagai anak seni, saya kena ambil tahu. Contoh, kalau Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) anjur mesyuarat, saya hadir. Sekurang-kurangnya, saya tahu apa yang dibincangkan dan perkara semasa yang perlu diketahui. “Jadi, kita perlu libatkan diri. Jangan sekadar hentam atau persoalkan fungsi persatuan. Hakikatnya, kita tak ambil tahu tentangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Naim tidak menolak hakikat bahawa sebilangan besar artis muda kurang berminat untuk melibatkan diri dalam persatuan membabitkan golongan berkenaan. Katanya keadaan tersebut juga didorong oleh isu dalaman serta hala tuju persatuan yang mungkin, kurang jelas. “Saya tidak menolak bahawa artis muda tanam mentaliti, ada atau tidak (persatuan), sama sahaja. Ini disebabkan ramai yang tak berapa jelas tentang fungsi persatuan-persatuan berkaitan. “Ditambah lagi dengan kerenah birokrasi selain agenda politik yang wujud membuatkan ramai artis muda hilang minat untuk melibatkan diri dalam berpersatuan,” ujarnya. Sumber: Utusan |
ADVERTISEMENT