Sophia Albarakbah bersyukur job tak pernah putus. Dia juga tidak menyangka, kepercayaan produser dan pengarah terhadapnya tidak pudar. Katanya sebelum ini risau juga kontroversi yang melanda akan menutup pintu rezeki namun ternyata, dia masih menjadi pilihan penggerak industri yang yakin dengan bakat dan kebolehannya.
“Tipulah kalau tidak rasa rasa takut itu, cuma bagi saya rezeki itu Tuhan tentukan. Hatta apa yang berlaku sekali pun, jika masih tertulis ada rezeki untuk saya maka itulah takdir yang saya perlu jalani. “Mungkin saya sendiri tidak pernah melawan atau menambah keruh yang ada. Mula-mula memang ramai yang mengecam namun lama-kelamaan, peminat industri sudah mula menerima. “Bagi saya, bakat tetap mendahului semuanya. Bila kita pamerkan bakat dan komitmen, saya percaya itu akan menjadi aset yang berharga. Disiplin juga sangat penting, supaya tidak ada masalah di masa akan datang,” katanya kepada Utusan Online.
Pernah dikritik kononnya hadir dalam industri sekadar atas tiket rupa semata, wanita berusia 29 tahun itu bagaimana pun berjaya membuktikan kecantikan itu hanyalah satu bonus untuk pemain industri seni. “Mula-mula masuk industri, orang cakap muka cantik tapi lakonan mesti kayu. Awal-awal lagi segelintir pihak sudah letak persepsi. Tetapi saya ambil positif dengan persepsi itu, semangat untuk mengubahnya. “Bila mereka tonton lakonan dalam beberapa drama, persepsi itu mula berubah. Saya beri 100 peratus penjiwaan dan komitmen. Sebab saya tahu ada mata-mata yang menunggu dan menilai.
“Alhamdulillah, setakat ini saya terima komen positif dan membina. Kalau nak kata tiada yang mengecam itu mustahil. Mesti ada yang tak suka dan kurang berkenan." Menolak ideologi pelakon berwajah pan-asian sukar kekal relevan dalam industri, dia beranggapan itu adalah pemikiran yang tidak boleh diguna pakai terutama di zaman modernisasi ini. Secara peribadi, Sophia merasakan, wajah dan gayanya boleh berubah mengikut skrip, watak dan jalan cerita apath lagi dengan adanya bantuan penata rias dan gaya.
“Saya adalah seorang pelakon yang menerima apa sahaja watak asalkan tidak melampaui batas dan melanggar prinsip. Saya terbuka untuk mencuba, tak kisahlah kena nampak buruk dalam layar nanti. “Ini adalah wajah saya, tak boleh ubah, Tetapi penjiwaan dan cara saya menjayakan sesebuah watak itu penting,” katanya. Sering kali diberi watak air mata, pelakon filem Mimaland ini disebut-sebut sebagai pelapis ratu air mata seperti Wan Maimunah dan Fasha Sandha. Namun baginya, perjalanan itu masih jauh dan dia perlu menggali sebanyak mungkin pengalaman serta tunjuk ajar daripada pelakon-pelakon yang lebih berpengalaman.
“Pernah sekali saya tidak boleh berhenti menangis walaupun penggambaran sudah tamat. Mungkin ketika itu saya terlalu terbawa-bawa watak. Itu antara pengalaman awal saya. “Ketika itu saya belum tahu bagaimana untuk mengawal emosi dan penjiwaan. Kalau ada yang gelar saya sebagai pelapis ratu air mata, itu adalah satu pengharapan dan penghargaan yang tinggi.
“Saya baru empat tahun dalam industri, banyak lagi yang saya perlu belajar. Tidak boleh berhenti mendapatkan tunjuk ajar. Orang kata, belum rasa sepak terajang sebenar dunia seni,” katanya. -CARI Sumber: Utusan Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|