Tarikh bagi madu dan suami pelakon Miera Leyana menjalani proses Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) akan ditetapkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Susulan kemelut rumah tangga mereka berlarutan sejak dua tahun lalu, JAWI sebelum ini mengarahkan Adibah Abdul Mutalib, 50, dan Rosland Othman, 50, menjalani JKP bagi menyelesaikannya.
Peguam Adibah, Mohd Junid Ramli berkata, kedua-dua pihak hadir di Mahkamah Rendah Syariah hari ini bagi mengemukakan nama wakil masing-masing di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali. Katanya, Rosland melantik adiknya, Kamarul manakala Adibah mengemukakan abang sulungnya, Azman, 57, sebagai wakil dalam proses JKP bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka. "Selepas ini, kita tunggu panggilan atau surat daripada Jawi untuk menetapkan tarikh menjalani JKP. "Kemudian, kita akan ke mahkamah sekali lagi bulan depan bagi melihat laporan sama ada kedua-dua pihak berjaya didamaikan atau disyorkan perkara lain untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya selepas prosiding hari ini.
Adibah turut ditemani dua anaknya manakala Rosland hadir bersama peguam, ibu serta adiknya. Sementara itu, anak sulung pasangan itu, Nur Izzah, 26, berkata, mereka akan menerima apa saja keputusan bagi memastikan kemelut rumah tangga ibu bapanya dapat diselesaikan dengan segera dan menemui jalan terbaik. "Kami ok saja asalkan masalah mak dan abah dapat diselesaikan dengan cara baik. "Sudah tentu jika keputusan bercerai, kami akan sedih tetapi ini kami anggap ini semua ujian dan mungkin ada hikmahnya tetapi keutamaan kami tetap mak kerana kami tidak mahu dia digantung tak bertali. "Sebagai anak, kami sentiasa ada untuk jadi pendengar setia dan bahu untuk mak menangis, namun penghujungnya, keputusan tetap di tangan mak dan kami akan sokong mak asalkan terbaik untuk dia," katanya. Sementara itu, Adibah ketika ditemui mengulangi pendiriannya mahu menyelamatkan rumah tangga dibina bersama Rosland sejak 1995 semampu yang boleh. Bulan lalu, Mahkamah Rendah Syariah di sini, mengarahkan Rosland dan Adibah merujuk JKP dan melantik wakil masing-masing bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang dilanda badai sejak dua tahun lalu. Perkara itu diputuskan selepas Adibah enggan bercerai dan mahu mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama Rosland sejak 28 tahun lalu. Sebelum ini, permohonan cerai difailkan Rosland mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Bagaimanapun, pada 31 Januari lalu, Rosland yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Consolidated Industries Bhd milik syarikat Serba Dinamik, gagal menghadiri prosiding kes nusyuz yang difailkan sendiri di mahkamah sama. Rosland dan Miera Leyana mendirikan rumah tangga pada 26 Julai 2020 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT