SYDNEY: Seorang warga emas berusia 85 tahun meninggal dunia gara-gara jururawatnya memutuskan sambungan mesin pemantau jantung semata-mata mahu bercakap dengan keluarganya menerusi aplikasi FaceTime.
Lapor Mirror, Geraldine Lumbo Dizon bekerja syif malam di Hospital Swasta Nepean di Kingswood, Sydney dalam kejadian berlaku pada 29 Julai 2021. Ketika kejadian, Geraldine menerima panggilan daripada keluarganya di Filipina menerusi aplikasi itu sebelum bertindak mematikan penggera yang menyambungkan kepada mesin pemantau jantung pesakit itu. Tribunal Rayuan Sivil dan Pentadbiran New South Wales juga mendapati jururawat itu gagal memaklumkan kepada doktor mengenai gangguan pada rentak jantung pesakit terbabit sebelum kejadian itu berlaku. Pada sesi perbicaraan itu, Geraldine didapati bersalah atas pertuduhan salah laku dan tingkah laku profesional yang tidak memuaskan.
Malah, Geraldine juga didapati gagal memberi rawatan sewajarnya kepada pesakit berkenaan yang mengalami kegagalan buah pinggang dan jantung, ketika panggilan telefon itu. Selepas syif Geraldine berakhir, pasukan perubatan buntu melihat rentak jantung pesakit itu yang semakin merosot kerana dia gagal memasang semula sambungan mesin berkenaan. “Pada 30 Julai 2021, mesin pemantau jantung menunjukkan pesakit A mengalami bradikardia (degupan jantung perlahan). “Jururawat dan kakitangan perubatan lain tidak dapat mendengar bunyi penggera kerana penggera telemetri masih terputus,” jelas keputusan tribunal itu. Sementara itu, Geraldine memaklumkan dia mematikan bunyi penggera tersebut kerana ia mengelirukan pesakit lain. Katanya, pesakit lain menyangka penggera itu sebagai bunyi loceng pintu. -CARI Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT