Pelakon Reen Rahim menganggap perkongsian yang dimuat naik sebagai diari untuk menjadi kenangan pada masa akan datang. Biarpun menyelit elemen jenaka, pemilik nama sebenar, Noreen Ashikin Abdul Rahim menjelaskan setiap perkongsian yang dimuat naik mempunyai mesej tersirat yang cuba untuk disampaikan buat pengguna media sosial.
"Walaupun perkongsian yang saya muat naik berbentuk gurauan, namun bagi mereka yang bijak membaca perkara tersirat dan tersurat, pasti dapat membaca mesej yang cuba disampaikan. "Contohnya seperti mesej yang saya muat naik mengenai jangan percaya walaupun darah daging, mungkin sukar diterima segelintir pihak, namun ada kebenaran di sebalik kata-kata itu. Begitu juga dengan ciri-ciri penyondol yang cuba menjadi kawan baik kita, kemudian merampas hak kita. "Itu adalah fakta sebenarnya. Orang berpendapat media sosial adalah dunia tipu-tipu, namun bagi saya media sosial adalah diari momen kerja dan detik bersama keluarga yang sempat dirakam.
"Alhamdulillah dan bersyukur sekiranya apa yang saya kongsikan memberi inspirasi buat mereka di luar sana. Saya hanya menjadi diri sendiri. Bukan sekadar mendapat perhatian atau 'like' semata-mata," kata Reen. Sebelum ini, Reen pernah dikecam apabila memuat naik perkongsian terpaksa bangun sahur selepas mendirikan rumah tangga. Mengakui keterlanjuran katanya itu, Reen bagaimanapun menyelar tindakan segelintir netizen yang menulis kecaman tanpa usul periksa. Dalam hal ini, Reen berkata, dia diberikan didikan agama secukupnya oleh ibu bapa sejak kecil. "Saya tak mahu panjangkan cerita. Saya memang marah, tetapi sekarang sudah sejuk. Saya sudah maafkan juga mereka. "Alhamdulillah punca rezeki saya bukan semata-mata di TikTok. Tetapi, bayangkan kalau berlaku kepada mereka yang mencari rezeki dari aplikasi terbabit. Bukankah itu menganiaya orang? "Saya mahu tutup kes ini. Berang, tetapi tak apa saya tak mahu melanjutkan isu ini. Biar yang berlaku memberi pengajaran kepada kita semua," katanya menerusi beberapa hantaran di Instagram Story. Dalam pada itu, Reen juga menasihatkan warganet untuk berhati-hati dalam meninggalkan komen di platform sosial media supaya tidak memberi impak buruk terhadap mana-mana individu. "Kita ambil iktibar daripada apa yang berlaku. Sebelum kita muat naik gambar atau video, kita tapis dulu. "Begitu juga mereka yang suka komen, tapis juga kata-kata dan ayat. Jangan ikut sedap tekak sahaja," katanya. - CARI Sumber: HARIAN METRO
|
Biarpun menyelit elemen jenaka, pemilik nama sebenar, Noreen Ashikin Abdul Rahim menjelaskan setiap perkongsian yang dimuat naik mempunyai mesej tersirat yang cuba untuk disampaikan buat pengguna media sosial.
ADVERTISEMENT