Bukan sekadar beraya bersama keluarga, tapi kepulangan Amir Raja Lawak ke kampung halamannya di Jalan Bayam, Kota Bharu juga bagi meluangkan masa dengan peminat dengan menjual air minuman yang sudah dijalankannya sejak enam tahun lalu di hadapan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini.
Dengan memuatkan lebih 1,000 botol air pelbagai perisa di bawah jenamanya iaitu Air Jagung Amirreka by Amir Raja Lawak di dalam but kereta, Amir, 34, sudah lima malam menjalankan perniagaan itu. Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, berkata, dia cuba untuk memanfaatkan kepulangannya ke kampung halaman sejak sehari sebelum 1 Syawal lalu selepas sekian lama tidak berjumpa peminat di negeri ini selepas berhijrah ke Kajang, Selangor. "Perniagaan air ini saya sudah mulakan sejak 2017 lagi dan sehingga kini saya masih cuba mengekalkannya walau ada kalanya ada kekangan masa dengan tawaran rancangan hiburan atau sitkom.
"Tahun ini saya berkesempatan untuk pulang beraya di Kelantan dan tidak salah untuk saya teruskan promosi produk saya ini dalam masa yang sama berjumpa dengan peminat yang sentiasa memberi sokongan," katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
|
ADVERTISEMENT