Pernah mengalami kecederaan di lokasi penggambaran supertelefilem pada tahun lalu tidak meluntur semangat Wafariena Roslan, 27, untuk berlakon dalam cerita genre aksi. Wafariena atau Wafa juga bersedia melakonkan babak aksi lagak ngeri jika pengarah menyediakan sesi latihan rapi sebelum melakonkan babak terbabit.
"Sebelum ini, saya mengalami kecederaan kerana dipaksa pengarah terbabit untuk buat aksi lagak ngeri sendiri tanpa sebarang persediaan atau latihan lengkap. "Jika pengarah menyediakan kelas atau sesi latihan rapi untuk pelakon buat aksi lagak ngeri terbabit pasti kecederaan boleh dielakkan," katanya kepada Harian Metro. Ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 20 episod Janji Di Bawah Pokok Ceri arahan Asri Baq'u di sini semalam, Wafa berkata, dia impi untuk melakonkan watak aksi seperti dalam filem Hollywood, Fast & Furious.
"Saya sangat menyukai karakter pelakon wanita yang lasak dalam filem itu. "Saya berharap ada tawaran untuk berlakon dalam cerita genre aksi sedemikian selepas ini," katanya. Mengulas mengenai kecederaan dialami, kata Wafa, ia sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan dan sesi fisioterapi sebelum ini. "Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang, ibu selaku pengurus, akan memastikan produksi yang menawarkan saya berlakon menyediakan segala langkah keselamatan yang perlu sebelum menerima projek terbabit. "Ibu juga akan meneliti skrip dan babak yang perlu saya lakonkan itu boleh membahayakan keselamatan saya atau sebaliknya. "Selepas kejadian itu juga, penerbit dan pengarah yang mahu menawarkan saya berlakon juga lebih memahami dan menitikberatkan aspek keselamatan saya di lokasi penggambaran," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai tindakan undang-undang terhadap pengarah sebuah supertelefilem yang menyebabkan dia mengalami kecederaan dalaman akibat membuat aksi lagak ngeri sendiri pula, kata Wafa, ibunya sudah melantik peguam untuk menguruskan kes terbabit. "Pihak kami tetap meneruskan tindakan undang-undang pada pengarah terbabit untuk memberi pengajaran supaya kejadian tidak berulang. "Semua urusan berkaitan kes diuruskan peguam dan saya juga tidak dibenarkan mengulas terperinci mengenai kes itu buat masa ini," katanya. Dalam laporan sebelum ini, ibu Wafa, Suzana Hamad berkata, laporan polis terhadap pengarah itu sudah dibuat di Balai Polis Kundang, Selangor pada 26 Oktober lalu.
|
ADVERTISEMENT