Tidak berhasrat menyambut peminat di rumah pada Aidilfitri, sebaliknya, penyanyi vokal mantap, Aina Abdul merancang membuat kejutan dengan bertandang ke rumah mereka. Usaha itu diambil Aina sebagai cara membalas sokongan tidak berbelah-bahagi peminat setianya, sejak mula bertapak dalam industri muzik hingga namanya masyhur di bibir pemuja.
Aina yang meraikan lebaran di kampung halaman ibu di Mersing, Johor, mengaku faktor keselesaan dan ruang terhad menjadi punca dia tidak menerima tetamu ramai di kediaman. "Saya lebih suka berjumpa peminat di luar. Ruang rumah kami tidaklah sehebat mana. Jadi, agak kurang sesuai untuk menyambut kehadiran peminat. "Lagipun, hari raya sangat saya nantikan untuk menghabiskan masa bersantai bersama keluarga sambil menonton program kegemaran kami di Netflix. "Insya-Allah, saya berhasrat mahu ke rumah peminat, tengoklah macam mana. Jika jadual mengizinkan, saya mahu buat kejutan beraya di rumah peminat bagi membalas sokongan mereka kepada saya selama ini," katanya.
Berkongsi rutin keluarga pada hari raya, sudah menjadi kelaziman Aina untuk beraya di Mersing dan Johor Bahru. Usai solat sunat Aidilfitri, mereka memulakan aktiviti ziarah dengan didahului kunjungan ke pusara arwah ayah disusuli kediaman sanak-saudara. Lazimnya, kata Aina, mereka meluangkan tiga hari di Mersing dan Johor Bahru, sebelum bergerak ke Port Dickson, Negeri Sembilan untuk menziarahi keluarga arwah bapa. Lebaran ini, Aina hanya menyediakan dua pasang persalinan untuk dipakai pada hari raya pertama dan kedua. Akuinya, dia dan keluarga tidak seperti orang lain yang gemar sedondon di pagi raya.
|
ADVERTISEMENT