Kegiatan remaja menunggang motosikal dengan aksi bahaya mendapat padah apabila ditahan polis, di Jalan Pong Manis, Padang Terap, semalam. Walaupun baru berusia 13 tahun, aksi bahaya dengan motosikal seperti buat 'wheelie' tidak asing baginya.
Aksinya bersama seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya lain. Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, berkata susulan operasi Op Samseng Jalanan, pihaknya menahan dua remaja lelaki berkenaan yang masih bersekolah kerana disyaki merempit. "Kedua-dua remaja itu kemudian dibawa ke IPD Padang Terap dan saman dikeluarkan terhadap mereka sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga," katanya dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, Mulkiaman berkata, pihaknya meminta ibu bapa supaya memantau aktiviti anak-anak terutama ketika musim cuti persekolahan dan perayaan Aidilfitri supaya tidak terbabit aktiviti yang boleh membawa kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain. Katanya, Op Selamat 20 yang dilaksanakan bermula hari ini hingga 27 April ini dan pengguna jalan raya diminta supaya berhati-hati. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT