Seorang wanita disabitkan hukuman atas kesalahan membunuh bayinya. Harian Metro melaporkan wanita tersebut telah terlanjur bersama teman lelakinya ketika menuntut pada semester pertama di universiti.
Banduan yang sedang menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena itu ketika melakukan kesalahan, tidak mengetahui bahawa dirinya sedang hamil. Dia yang berusia 19 tahun ketika itu merasa sakit perut dan bergegas ke tandas kerana menyangka dia sedang datang bulan. Namun tiba-tiba dia melahirkan seorang bayi di tandas kolej. Difahamkan bayi itu meluncur jatuh ke dalam mangkuk tandas lalu meninggal.
Wanita berusia 26 tahun semasa ditemu bual wartawan menyatakan bahawa dia tidak langsung memandang bayi itu dan dia mengakui dia diselubungi rasa bersalah. Bagaimanapun, dia hanya melihat gambar anak lelakinya itu setelah ditunjukkan oleh pihak polis dan dia menamakan bayi tersebut dengan nama Muhammad. Manakala teman lelakinya pula telah menghilangkan diri sehingga sekarang. Dalam pada itu, dia berjanji bahawa dia menyesali akan perbuatannya itu dan jika diberikan peluang untuk dibebaskan dia tidak akan mengulangi kesilapan lalu. "Saya rindu nak makan ketupat dan rendang yang dimasak di pagi raya, selain merasai suasana Aidilfitri di rumah tetapi apakan daya terpaksa menjalani hukuman akibat kesilapan saya sendiri." Banduan itu sudah dipenjarakan selama 7 tahun atas kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh bayinya. -CARI
|
ADVERTISEMENT