Ning Baizura mengaku bukan mudah menerima hakikat ibu tersayang, Satilah Abdullah, 80, menghidap demensia. Ning berkata, ingatan ibu merosot kira-kira 30 peratus dan perubahan sikap insan tersayang itu dikesan sejak tahun lalu.
"Pada mulanya kami sangka ibu alami kecelaruan obsesif kompulsif (OCD) dan lupa-lupa biasa. "Tetapi lama-kelamaan keadaan ibu bertambah teruk. Jika ditanya hari ini hari apa, dia akan jawab Isnin dan setiap hari adalah Isnin untuknya. "Saya mula perasan perubahan ibu selepas kita terkurung hampir dua tahun akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi kami tidak buat pemeriksaan sehingga Mac, baru-baru ini," katanya pada sidang media Konsert Suara Raya 2023 di sebuah hotel di sini, Isnin lalu.
Demensia adalah penyakit berkaitan penyusutan kebolehan kognitif, memori dan membuat keputusan dengan gejalanya mengganggu aktiviti harian. Ning berkata, sebelum ibu disahkan menghidap demensia, Mac lalu, dia berbincang dengannya mengenai daya ingatan merosot. Namun, kata Ning, Satilah yang sebelum ini menjadi pengurusnya, tidak menerima hakikat. Malah, beliau enggan menjalani pemeriksaan di hospital.
"Saya sendiri tidak sedia menghadapi kenyataan itu, pada mulanya. Sehinggalah apabila ibu dan bapa mentua berkunjung ke Malaysia selama lima minggu, Februari lalu. "Merekalah yang nasihat dan pujuk ibu secara perlahan-lahan. Akhirnya, ibu terbuka hati untuk berjumpa doktor. "Hasil daripada pengimejan resonan magnet (MRI) sebanyak empat kali, ibu disahkan mengalami masalah demensia," katanya.
Namun, Ning berkata, ibunya masih lagi aktif dan cergas biarpun ingatan merosot. Ning juga bersyukur dikurniakan suami dan anak yang sangat memahami keadaan ibunya itu. Sejak ingatan ibunya merosot, Ning tidak meninggalkan Satilah sendirian di rumah.
"Kalau saya keluar bekerja, suami berada di rumah untuk mengawasi ibu, begitulah sebaliknya. "Jika hendak bercuti, kami akan bawa ibu bersama. Atau jika tidak bawa ibu, saya akan bercuti bersama anak. "Suami pula berada di rumah atau suami bercuti, saya pula tinggal di rumah. Ada masanya, jika terlampau terdesak, saya terpaksa meminta bantuan rakan-rakan atau ibu saudara," katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri, Ning berkata, mereka sekeluarga akan meraikannya di Langkawi. Tambah Ning, mereka akan memandu hingga ke jeti pilihan berikutan ibu tidak boleh menaiki pesawat berikutan bimbang dengan tekanan udara dalam pesawat. "Mereka yang menghidap demensia mengalami kekurangan oksigen dalam otak. Jadi jika menaiki pesawat, oksigen bertambah kurang. Ini boleh menyebabkan ibu pening. "Jadi, kami buat keputusan memandu sahaja ke Langkawi. Saya mahu ibu banyak luangkan masa di tempat dilitupi alam semula jadi. Ibu sukakan tempat sebegitu dan ia baik untuk kesihatannya. "Saya sangat bersyukur dikurniakan suami yang sangat memahami dan menyayangi ibu. Suami yang sangat risau dan tidak pernah berkira menjaga ibu," katanya.
Mengenai konsert Suara Raya 2023, selain Ning, acara yang bakal berlangsung pada 14 Mei itu turut dijayakan Aina Abdul dan Iman Troye. Konsert itu dianjurkan sempena kempen pencegahan aktiviti pemerdagangan manusia.
Bakak menghangatkan Zepp Kuala Lumpur di sini, Ning dijangka mendendangkan enam lagu termasuk lagu raya. Ning juga bakal bergabung dengan dua penyanyi muda di pentas itu. -CARI Sumber: Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|