Uqasha Senrose atau nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen memaklumkan dia mengambil khidmat pengawal peribadi bagi menjaga keselamatan keluarga. Tindakan tersebut adalah langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian membabitkan Kamal Adli diserang di Singapura pada Mac lalu berulang.
“Kamal tidak dibiar berseorangan sebab kami menggunakan khidmat pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan di rumah. “Selain itu saya juga telah membuat laporan polis untuk meminta pihak berkuasa buat pemantauan setiap tiga jam di sekitar kediaman kami,” katanya. Mengulas tentang keadaan Kamal yang terkini, maklum Uqasha, suaminya stabil namun masih trauma. Katanya Kamal lebih selesa berdiam di rumah kerana emosinya sedikit terganggu dengan apa yang berlaku. “Dia lelaki, tak akan tunjuk dia lemah. Tapi apabila emosinya tak stabil, nampaklah dia tak gembira.
“Bagaimanapun, dia tetap fahami saya yang penat bekerja. Kerana itu dia akan cuba untuk gembirakan hati saya walaupun keadaannya begitu. “Situasi ini berat untuk saya. Tetapi saya tak mahu mengeluh sebab sedar ada orang lain yang berdepan dugaan yang lebih berat. Jadi kalau emosi Kamal tak stabil, saya kena faham dan tenang berdepan keadaan,” katanya lagi. Uqasha mengaku dia juga cukup terkesan dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi insiden itu berlaku depan mata. "Saya akui masih takut. Bahkan jantung berdebar-debar bila keluar rumah, diri mudah terkejut bila orang lalu di sebelah. “Sekarang, lepas kerja saya akan terus balik. Kalau keluar saya pastikan berteman, tak berani berseorangan. “Isteri mana yang tidak risau lebih-lebih lagi melihat suami diperlakukan sedemikian rupa. Selama ini kita melihat perkara sebegini dalam drama televisyen sahaja. Tetapi kali ini benar-benar berlaku depan mata,” katanya. Dalam pada itu, Uqasha memaklumkan bahawa dia dan suami tidak akan berhari raya di luar, hanya menyambutnya di rumah bersama keluarga terdekat. “Tahun ini akan menyambut Aidilfitri dengan keluarga terdekat sahaja. Mungkin kami akan berhari raya di rumah sahaja. “Tambahan pula tahun ini giliran saya untuk menyambut Syawal bersama keluarga saya. Jadi akan lebih banyak bersama keluarga di rumah,” jelasnya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT